Sebaik sahaja turun daripada kereta, si mekanik menyatakan yang kereta itu mempunyai masalah yang berat dan berbahaya. Mungkin kenderaan itu mempunyai masalah penjajaran tayar yang tidak sempurna. Keretanya boleh masuk parit kerana pemanduan tidak stabil. Keempat-empat tayar keretanya diperiksa dan penjajaran dilakukan. Tetapi, sebaik sahaja kawan saya memandu keretanya, bunyi itu masih ada.
Kali ini, mekanik itu mengatakan ia adalah masalah getah penyambung di salah satu tayar kereta. Tayar keretanya boleh tercabut andainya memandu di jalan yang berlubang-lubang. Malangnya, keadaan tidak berubah setelah getah itu diganti. Getah penyerap di kedua-dua bahagian belakang pula ditukar kerana mungkin absorber yang bermasalah. Namun, bunyi itu masih ada lagi. Akhirnya setelah RM500 melayang, kawan saya bercadang untuk membawa keretanya ke bengkel yang lain untuk mendapatkan second opinion.
Hendak dijadikan cerita, kawan saya berasa dahaga lalu mencari botol air mineral di dalam keretanya. Puas mencari tidak ditemuinya. Akhirnya apabila dia 'menggagau'ke bawah kerusi pemandu, dia terjumpa botol air mineralnya. Di sebelah botol itu pula terdapat sebuah tin biskut. Tangannya segera mengetuk tin itu dengan botol air mineralnya. Kedengaran bunyi berdegup-degap. Rupa-rupanya dari situlah datangnya bunyi yang berharga RM500 itu.
Punca dia berbelanja RM500 adalah kerana dia terbeli ketakutan. Penjualnya adalah mekanik bengkel itu. Kawan saya hanya ingin memandu dengan selesa. Apabila dia meminta perkhidmatan membaiki keretanya, mekanik itu telah menjual ketakutan sehinggakan dia membaiki keretanya kerana takut keretanya masuk parit atau tayarnya tercabut. Inilah trend sebilangan peniaga. Mereka bukan menjual perkhidmatan, sebaliknya ketakutan.
Untuk menguruskan tubuh yang semakin membesar, mulalah kita mencari jalan untuk menguruskan badan. Bagaimanapun, apabila kita cuba menguruskan tubuh dengan mendapatkan pil pelangsing, si penjual mengasak kita dengan pelbagai pantang larang seperti makan sebelum jam 8.00 malam, jangan makan makanan yang berminyak, jangan minum ais, banyakkan meminum air masak dan bersenam.
Andainya kita tidak ikuti pantang larang apabila memakan pil pelangsing itu, tubuh kita tidak akan berubah kurus, malah akan semakin membesar dan menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung. Alahai. Bukankah dengan mengamalkan semua di atas dan tanpa memakan sebiji pun pil pelangsing itu tubuh kita akan sihat dan kurus juga?
Untuk pandai bahasa Inggeris, kita mencari jalan untuk mempelajarinya. Selain daripada mengikuti kelas-kelas formal, kita boleh juga belajar melalui buku dan peralatan audio. Malang sekali terdapat jurujual yang bukan menggambarkan kebagusan produknya dan kebaikan mempelajari bahasa itu. Sebaliknya mereka menguji kita dengan istilah-istilah yang sukar hingga membuat kita terasa yang kita belajar bahasa Inggeris bukannya kerana ingin berkomunikasi dengan lebih baik, sebaliknya kerana takut dipandang jahil.
Apabila kita mencari keselesaan dengan membeli kereta, kita ditakutkan supaya segera membeli kerana jika terlambat, harga kereta itu akan naik. Bila kita ingin memperbaiki masa depan dengan melabur, kita diberikan gambaran masa depan yang kelam jika kita tidak mengambil produk yang ditawarkan. Oleh kerana kita membeli bukan lagi untuk berseronok, selesa, atau bahagia, sebaliknya kerana takut, maka akhirnya kita menyukai ketakutan.
Apakah kita boleh menyangkal, untuk berhibur juga, sebilangan daripada kita mula memilih hiburan yang menakutkan? Di laman web Finas yang dikemaskini minggu lepas, lima daripada sepuluh filem-filem yang mendapat kutipan yang terbanyak dalam sejarah perfileman Malaysia adalah filem-filem hantu.
purple:
- biasa benor n kejadian2 diatas
- berwaspada ketika perlu
- moga x tertipu lg
org kate precaution better than cure..tp kalau terlampau takut pun bahaya gak..cube rileks sket macam akak ni..gemuk pun gemuk la..nanti bulan puasa kite puasa nasik skali..ngee
ReplyDelete